Besut: Jabatan Penjara Malaysia dalam proses fasa akhir penggubalan peraturan dan syarat pelaksanaan tahan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Penjara adalah pelaksana kepada keputusan Lembaga Pengampunan sudah menerima surat daripada urus setia lembaga berkenaan yang menyatakan keputusan serta syarat-syarat berkaitan.
"Peraturan khusus berhubung tahanan rumah perlu digubal kerana mekanisme itu belum pernah dilaksanakan sebelum ini dan secara tiba-tiba akan dilaksanakan.
"Sekarang, proses penggubalan itu berada pada fasa akhir," katanya kepada pemberita pada program Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Felda Tenang, di sini, hari ini.









