SEREMBAN - Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Yemen selain menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik di negara itu supaya kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian secara diplomatik.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bersimpati dengan penderitaan rakyat Yemen yang terpaksa menanggung kesan perang saudara berlarutan termasuk kebuluran dan kesukaran mendapatkan keperluan asas.Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh rakan sejawatnya, Menteri Luar dan Ekspatriat Yemen, Dr Afrah Abdulaziz Al-Zouba, yang berkongsi perkembangan terkini di negara itu melalui panggilan telefon pada Khamis. "Malaysia bersedia menyertai apa-apa misi bantuan atau menghulurkan bantuan kepada negara-negara yang memerlukan, setakat kemampuan kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan perayaan Deepavali di Dewan Orang Ramai Rantau di sini pada Sabtu.Mohamad berkata, konflik berkenaan perlu ditamatkan kerana tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat sebaliknya menyebabkan penderitaan berpanjangan kepada kira-kira 22 juta penduduk yang terkesan.Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkepentingan dari luar supaya memainkan peranan konstruktif dengan kembali ke meja rundingan bagi membolehkan rakyat Yaman menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera.Beliau berkata, usaha diplomatik perlu diberikan keutamaan bagi mengelakkan konflik berkenaan daripada terus berpanjangan dan menjejaskan kestabilan serantau. - Bernama