KUALA LUMPUR - Alasan seorang lelaki warga asing kononnya keluar bersiar-siar bersama rakan-rakannya terbongkar apabila dikesan menghantar empat penumpang warga Filipina ke tempat kerja dalam operasi khas kereta sapu di Mont Kiara di sini pada Khamis.Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur itu turut mengesan sebuah lagi kenderaan persendirian dipercayai digunakan sebagai kereta sapu, dipandu seorang individu berstatus penduduk tetap Malaysia yang membawa empat penumpang warga Bangladesh.Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kedua-dua kenderaan itu dikesan menerusi Ops Khas Kereta Sapu yang dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan penguatkuasaan.Menurutnya, operasi berkenaan bertujuan membanteras penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian bagi menjalankan perkhidmatan pengangkutan penumpang berbayar tanpa permit sah."Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan disyaki terbabit dalam aktiviti pengangkutan penumpang tanpa permit yang sah."Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa, termasuk penyitaan kenderaan di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta tindakan lanjut mengikut Seksyen 16 akta sama," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, beberapa tindakan berkaitan kesalahan teknikal dan pelesenan turut dikenakan hasil pemeriksaan yang dijalankan.Hamidi berkata, pihaknya memandang serius kegiatan menggunakan kenderaan persendirian sebagai kenderaan awam tanpa permit kerana perbuatan itu mewujudkan persaingan tidak sihat kepada pengendali perkhidmatan berlesen, selain mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan.Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan kereta sapu kerana berisiko berdepan masalah perlindungan insurans serta kesukaran mendapatkan pembelaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini."Sebanyak tujuh operasi khas kereta sapu dilaksanakan JPJ Kuala Lumpur dari Januari hingga Oktober tahun ini, membabitkan pemeriksaan terhadap 43 kenderaan."Daripada jumlah itu, sebanyak 23 kenderaan diambil tindakan, 72 notis dikeluarkan, 27 kenderaan disita dan 12 kes direkodkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya.Tambahnya, JPJ Kuala Lumpur akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan kegiatan kereta sapu."Antara yang diberikan tumpuan termasuk kawasan perumahan, pusat perniagaan, hab pengangkutan serta kawasan perindustrian."Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta menyalurkan aduan menerusi saluran rasmi JPJ bagi membantu memastikan sistem pengangkutan negara kekal selamat dan mematuhi undang-undang," katanya.