PETALING JAYA: Tiada kecederaan pada organ dalaman dikesan berdasarkan hasil bedah siasat terhadap jenazah Allahyarham Noorizwan Zulkefly, 42, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, hanya beberapa kecederaan pada bahagian luaran dikesan manakala punca kematian telah dinyatakan sebagai pending laboratory analysis atau menunggu keputusan analisis makmal.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut di mana Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman meneruskan siasatan dari pelbagai sudut.
“Kertas ini juga telah dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839),” katanya dalam kenyataan hari ini.









