Sungai Buloh: "Kami yang pekak dan bisu juga ada perasaan, malah tentunya sedih apabila ditolak, kecewa sekiranya tidak diberikan peluang dan gembira kalau usaha kami dihargai.

"Jangan anggap kami tidak mampu hanya kerana tidak dapat mendengar suara anda atau menjawab menggunakan pertuturan," kata Ahmad Muazzin Syamil Ahmad Zuhairi, 21, ketika berkongsi cabaran dilaluinya sebagai orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu dalam mencari pekerjaan.

Baru-baru ini, hantaran Ahmad Muazzin Syamil di media sosial mendapat perhatian setelah berkongsi pengalaman sedihnya yang ditolak majikan dengan alasan syarikat tidak menerima kakitangan OKU pekak dan bisu.

Bercerita lanjut, Ahmad Muazzin Syamil berkata, perkongsiannya itu bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya dia cuma berharap pengalaman berkenaan membuka mata masyarakat mengenai realiti dan cabaran OKU dalam mencari pekerjaan.