Melaka: Seramai 291 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka bersiap siaga digerakkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang berisiko menyebabkan banjir dan ribut.

Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, ia membabitkan 41 pegawai dan 250 anggota yang turut menyertai latihan berkaitan MTL serta penyelenggaraan aset bagi memastikan semua persiapan berada pada tahap optimum.

"Semua aset APM membabitkan dua trak, lima kenderaan pacuan empat roda, 30 bot dan 10 ambulans juga berada dalam keadaan baik.

"APM Melaka juga melaksanakan pelbagai latihan kepada anggota termasuk pengendalian bot dan enjin, pertolongan cemas, latihan menyelamat serta pengendalian peralatan operasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.