Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti sama ada sindiket dadah yang beroperasi di Malaysia terlibat dalam cubaan menyeludup 1.16 tan ketamin hidroklorida di atas sebuah kapal tangki yang dirampas di perairan Indonesia.
Kapal tangki menggunakan bendera Mongolia yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Indonesia sebagai milik syarikat Malaysia dipintas di luar perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara, pada 20 Okt.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaklumkan mengenai rampasan berkenaan oleh pihak berkuasa Indonesia, semalam.









