Pattaya: Bimbang menjadi sasaran balas dendam selepas membantu polis memberkas seorang suspek kes pecah kedai, seorang pemilik kedai kopi di Pattaya kini boleh menarik nafas lega apabila lelaki berkenaan yang meloloskan diri daripada tahanan berjaya ditangkap semula selepas empat hari diburu.

Memetik laporan The Thaiger, pegawai dari Balai Polis Mueang Pattaya dengan kerjasama penyiasat Polis Wilayah 2 menahan suspek di daerah Pluak Daeng, wilayah Rayong, semalam.

Lelaki berusia 42 tahun yang dikenali sebagai Phatcharapon itu menjadi buruan polis sejak Isnin lalu selepas melarikan diri ketika diiringi ke Mahkamah Wilayah Pattaya bagi prosiding tahanan.

Tangkapan pertama suspek pada 18 Oktober lalu dilakukan selepas seorang pemilik kedai kopi mengecamnya sebagai lelaki yang disyaki memecah masuk premis perniagaannya serta mencuri barangan bernilai lebih 40,000 baht (kira-kira RM5,200).