Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia di Taiwan kini menerima rawatan perubatan untuk kecederaan ringan akibat kesan Taufan Champi, menurut Kementerian Luar.

Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan perkara itu disahkan oleh Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei yang turut menyediakan bantuan konsular kepada kedua-dua individu.

"(Pusat) berkenaan terus berhubung rapat dengan kumpulan pelajar Malaysia dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau perkembangan dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia di Taiwan," menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Sabtu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai maklumat mengenai warga Malaysia yang mungkin memerlukan bantuan di kawasan terjejas, digesa menghubungi Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei pada talian +886 972 349 343 atau melalui e-mel mwtaipei@kln.gov.my.