Shah Alam: Berbekalkan modal serendah RM114, sepasukan lima murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama 2 membuktikan bahawa kekangan kos bukan penghalang untuk mencipta inovasi berimpak tinggi selepas meraih Anugerah Khas Kategori Inovasi Digital pada Majlis Apresiasi Metamorfosis Negeri Selangor 2026, semalam.
Pasukan yang dianggotai lima murid tahun enam dikenali sebagai Pasukan Harmoni itu berjaya memikat hati juri menerusi ciptaan "Pothole Detector On-The-Go", iaitu produk inovasi berasaskan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) yang berfungsi mengesan masalah jalan berlubang secara masa nyata, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000, piala berserta sijil penghargaan.









