KUALA LUMPUR - Bedah siasat ke atas seorang lelaki yang meninggal dunia selepas dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober mendapati tiada kecederaan pada organ dalamannya. Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid dalam kenyataan pada Sabtu bagaimanapun berkata, terdapat beberapa kecederaan luaran. "Punca kematian dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal)," katanya.Beliau berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 19 September berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan.Pada 30 September, lelaki itu dirujuk ke HCTM untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi keesokan harinya.Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dengan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman meneruskan siasatan dari pelbagai sudut.Aida berkata, setakat ini, USJKT telah merakam percakapan 78 saksi terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, wakil Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan dua waris lelaki tersebut."Kes itu turut dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839)," katanya.Aida berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam menangani insiden seumpama itu serta meminta orang ramai memberikan ruang untuk siasatan dijalankan secara telus tanpa membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan."JIPS memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan selaras dengan peraturan serta undang-undang," katanya.Pada 17 Oktober, media melaporkan seorang ahli keluarga lelaki itu menyerahkan memorandum kepada PDRM bagi menuntut kes tersebut diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama