Seoul: Dua perniagaan di Gangnam-gu disiasat polis pada Selasa selepas disyaki mengatur lebih 2,800 urusan pelacuran dalam tempoh 44 hari dengan pendapatan sekurang-kurangnya 574 juta won (kira-kira RM1.8 juta).
Memetik laporan The Korea Herald, Balai Polis Gangnam merujuk lapan individu kepada pihak pendakwaan tanpa penahanan, membabitkan tiga pengendali perniagaan, seorang pengurus, dua wanita dan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran.
Tiga pengendali itu disyaki mengatur kegiatan pelacuran bagi meraih keuntungan, satu kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum 70 juta won (kira-kira RM216,000).
Kumpulan itu dipercayai menggunakan 33 pangsapuri studio di Nonhyeon-dong dan Yeoksam-dong sebagai lokasi kegiatan selain mengiklankan perkhidmatan menerusi internet dan saluran Telegram dengan berselindung di sebalik tawaran 'urut Sweden' serta perkhidmatan seumpamanya.










