Batu Pahat: Hati bapa mana yang tidak luluh sebaik melihat empat anaknya parah dan tidak sedarkan diri selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Johor Bahru-Melaka, dekat Bagan, di sini, malam tadi.
Noorwandi A Rahim, 41, hanya mampu menahan sebak melihat keadaan anak-anaknya sebelum seorang daripada mereka meninggal dunia.
Berkongsi detik menyedihkan itu, Noorwandi berkata, dia menerima panggilan daripada adiknya yang memaklumkan kereta dinaiki anak-anaknya, adik perempuan serta adik iparnya terbabit dalam kemalangan kira-kira 10 malam.
"Waktu itu, saya dan isteri, Norfarahin Mohammad, 38, sudah tiba di rumah selepas keluar makan malam bersama di sebuah pusat beli-belah. Saya dan isteri menaiki motosikal, manakala anak-anak menaiki kereta yang dipandu adik ipar.










