BATU PAHAT: Hati bapa mana yang tidak luluh sebaik melihat empat anak parah dan tidak sedarkan diri selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Johor Bahru-Melaka, dekat Bagan, di sini malam tadi.

Noorwandi A Rahim, 41, hanya mampu menahan sebak melihat keadaan anak-anaknya sebelum seorang daripada mereka meninggal dunia.

Berkongsi detik menyedihkan itu, katanya, dia menerima panggilan daripada adik yang memaklumkan kereta dinaiki anak-anaknya, adik perempuan serta adik iparnya terbabit kemalangan kira-kira 10 malam.

Ketika itu, jelasnya, dia dan isteri, Norfarahin Mohammad, 38, sudah tiba di rumah selepas keluar makan malam bersama di sebuah pusat beli-belah.