Kuala Lumpur: Pemandu lori warga Malaysia ditahan selepas pihak berkuasa Singapura menemui lebih 800 karton rokok yang belum dibayar duti tersembunyi di bawah bakul sayur-sayuran dibawanya di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan cubaan penyeludupan itu berjaya dipatahkan pada 8 Oktober lalu.

"Pegawai mengesan ketidakaturan pada imej imbasan lori berdaftar di Malaysia itu.

"Lori berkenaan yang membawa muatan diisytiharkan sebagai pelbagai jenis sayur-sayuran, diarahkan menjalani pemeriksaan lebih teliti selepas penganalisis imej ICA mengesan kejanggalan pada imej imbasan," menurut kenyataan itu.