Raub: Hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan banjir kilat di dua kawasan di daerah ini petang tadi yang turut menenggelamkan jalan utama.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub memaklumkan banjir dilaporkan berlaku pada jam 4.30 petang di Kampung Melayu Sempalit dan sepanjang Jalan Tras.

"Sungai Sempalit melimpah sehingga menenggelami kawasan kampung berhampiran, manakala sistem perparitan di sepanjang Jalan Tras tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

"Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka. Air banjir surut sepenuhnya kira-kira jam 6.50 petang selepas hujan berhenti," menurut kenyataan itu.