RANAU: Hujan lebat berterusan sejak petang semalam mengakibatkan tanah runtuh sehingga menjejaskan struktur binaan di lereng bukit di Kampung Gorowot, Kundasang.
Kejadian itu menyebabkan sebahagian tanah di kawasan berkenaan menggelongsor, dengan struktur berbumbung serta pagar terjejas akibat runtuhan tanah berhampiran sebuah bangunan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata pihaknya menerima aduan orang awam menerusi talian kecemasan MERS 999 sebelum mengarahkan anggota ke lokasi pada jam 4.15 petang.
Katanya, anggota Balai Polis Kundasang bersama Unit Kereta Peronda (MPV) tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian untuk menjalankan pemeriksaan.









