ISKANDAR PUTERI: Johor berpeluang menarik lebih banyak pelaburan asing sekiranya pelabur antarabangsa mengalihkan dana ke pasaran alternatif susulan cadangan penurunan taraf pasaran saham Indonesia oleh Morgan Stanley Capital International (MSCI).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han, berkata isu berkenaan lebih tertumpu kepada pasaran modal dan pasaran saham, justeru tidak melihat perkembangan itu akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negeri berkenaan.
Beliau berkata, dana antarabangsa yang menjadikan indeks MSCI sebagai penanda aras pelaburan berkemungkinan melakukan pelarasan portfolio, sekali gus membuka ruang kepada pasaran lain untuk menarik minat pelabur.








