Shah Alam: Tiada lebih membahagiakan buat seorang ibu apabila dapat menyaksikan sendiri kejayaan anaknya menggenggam ijazah.
Bagi Shaidatul Nizam Abd Malek, 52, impiannya melihat dua anak lelakinya melangkah bersama ke pentas konvokesyen akhirnya menjadi kenyataan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-105, hari ini.
Lebih tersentuh, kejayaan diraih dua beradik itu menjadi 'penawar' paling berharga buat bekas kakitangan New Straits Times Press (NSTP) berkenaan yang kini kental berjuang menentang kanser payudara.
Anak sulungnya, Muhammad Zuhair Haikal Idross, 27, merangkul Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi, manakala adiknya, Muhammad Hariz Danial, 25, menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia.






