Kuala Lumpur: Universiti perlu memperkukuh kerjasama dengan institusi, bandar dan negara bagi memanfaatkan ilmu pengetahuan dalam menangani cabaran bersama, termasuk perubahan iklim, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah universiti perlu mengintegrasikan pelbagai disiplin ilmu dan perspektif memandangkan kesan perubahan iklim serta transformasi teknologi melangkaui sempadan negara.
"Jika cabaran yang dihadapi adalah cabaran bersama, maka sudah tentu ilmu pengetahuan juga perlu dikongsi bersama. Justeru, universiti kita perlu meluaskan jangkauan dengan menjalin kerjasama merentas institusi, bandar dan negara.
"Universiti perlu menjadi wadah yang menghimpunkan pelbagai disiplin ilmu untuk saling melengkapi, meraikan kepelbagaian perspektif dan mengembleng tenaga demi kepentingan masyarakat global," titah baginda ketika melancarkan buku Univer-Cities Volume V bertajuk Combatting Existential Climate Change di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.








