KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menerima peruntukan RM2.23 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menyelenggara parit serta sistem saliran sedia ada sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia penting bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik khususnya ketika hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, selain itu Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan RM18 juta bagi melaksanakan 174 kerja di bawah Projek Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir (RMKE-13) yang melibatkan semua jajahan di Kelantan.
“Kerajaan negeri pula memperuntukkan RM5.3 juta menerusi peruntukan pembangunan negeri (P17) bagi melaksanakan 82 kerja di seluruh jajahan. Kerja-kerja tersebut dilaksanakan di setiap jajahan dengan status dalam pembinaan dan hampir siap sepenuhnya,” katanya menjawab soalan Nor Asilah Mohamed Zin (Pas-Limbongan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.










