KUALA LUMPUR: Orkim Bhd (ORKIM) giat mempercepatkan usaha meremajakan armada kapalnya menerusi penambahan kapal baharu dan penggantian kapal berusia, bagi memastikan kecekapan operasi, kualiti perkhidmatan serta keupayaan menjana pendapatan kumpulan terus terpelihara.
Langkah pembaharuan armada itu semakin penting berikutan sebahagian besar kapal milik syarikat pengangkutan marin berkenaan menghampiri usia 20 tahun, sekali gus memerlukan perancangan penggantian bagi mengekalkan daya saing dalam industri pengangkutan produk petroleum.
Menurut laporan penyelidikan Apex Securities, penambahan kapal baharu Orkim Garnet dan Orkim Opal sudah membantu mengurangkan kebimbangan berkaitan usia armada, khususnya risiko yang boleh menjejaskan pembaharuan dan pelanjutan kontrak pengangkutan sedia ada.










