KUALA LUMPUR: Kelemahan pengurusan kontraktor dikenal pasti sebagai punca utama 77 peratus projek sakit tahun ini khususnya dari segi perancangan, penyelarasan kerja di tapak, pengurusan tenaga kerja serta penyediaan jentera dan bekalan bahan binaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, baki 23 peratus kelewatan pula berpunca daripada faktor lain termasuk kelewatan kerja pengalihan utiliti, isu pengambilan balik tanah, akses terhad ke tapak bina, kekangan bekalan bahan binaan, kenaikan harga diesel serta masalah teknikal berkaitan pelaksanaan projek.

Beliau berkata, trend projek sakit tahun ini menunjukkan penurunan berbanding kadar tertinggi yang direkodkan pada Julai lalu iaitu 6.51 peratus membabitkan 55 projek.