Kuala Lumpur: Sebanyak 77 peratus projek sakit tahun ini berpunca daripada kelemahan pengurusan kontraktor, khususnya dalam aspek perancangan, penyelarasan kerja di tapak, pengurusan tenaga kerja serta jentera dan bekalan bahan binaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata berdasarkan analisis Jabatan Kerja Raya (JKR), baki 23 peratus kelewatan pula disebabkan faktor lain termasuk kelewatan kerja pengalihan utiliti, isu pengambilan balik tanah, akses ke tapak bina yang terhad, kekangan bekalan bahan binaan, kenaikan harga diesel serta isu teknikal berkaitan pelaksanaan projek.
Beliau berkata, trend projek sakit tahun ini menunjukkan penurunan berbanding kadar tertinggi yang direkodkan pada Julai lalu, iaitu 6.51 peratus membabitkan 55 projek.










