GEORGETOWN: Sejumlah 13 kes kemalangan dilaporkan setakat ini berpunca daripada keadaan jalan yang terjejas kesan daripada projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang.

EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, berkata tiga kes membabitkan kecederaan dan 10 lagi hanya membabitkan kerosakan kenderaan.

"Statistik data kemalangan jalan raya berpunca keadaan jalan kesan Projek Pembinaan LRT Laluan Mutiara adalah sebanyak 13 kes kemalangan.

"Perincian kemalangan mengikut daerah adalah tujuh kes di Daerah Timur Laut dan enam kes di Daerah Barat Daya," katanya menerusi jawapan bertulis pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.