Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan tamparan apabila peluang mereka beraksi pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terancam susulan kecederaan tumit kanan Wooi Yik.
Kecederaan dialami ketika Terbuka Perancis, dua minggu lalu, memaksa pasangan nombor empat dunia itu menarik diri daripada Terbuka Korea minggu ini, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuan mereka meneruskan baki saingan musim ini.
Lebih membimbangkan, penyertaan mereka pada Masters Kumamoto minggu depan juga masih diragui selepas kecederaan itu belum pulih sepenuhnya.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, pihaknya masih memantau perkembangan keadaan Wooi Yik sebelum membuat keputusan sama ada pasangan itu mampu beraksi di Jepun.









