KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Perancis selepas menewaskan pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di Arena Grand Paris, sebentar tadi.

Pasangan pilihan kedua kejohanan itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-15 dalam tempoh 39 minit bagi mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik.

Bagaimanapun, cabaran Pearly-Thinaah dijangka semakin getir apabila mereka bakal berdepan pasangan pilihan ketiga dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam aksi separuh akhir.

Iwanaga-Nakanishi terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas menyingkirkan rakan senegara, Ririna Hiramoto-Chiharu Shida menerusi pertarungan tiga set 21-18, 16-21, 21-15.