PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus mengekalkan momentum kemenangan selepas mengesahkan slot separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, hari ini.
Pasangan No. 4 dunia yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu menewaskan gandingan No. 9 dunia, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-12, 21-15 dalam masa 39 minit.
Kejayaan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah semakin menjarakkan rekod pertemuan ke atas adik beradik Stoeva menjadi 5-1.
Pearly-Thinaah yang mara ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Denmark, minggu lalu, akan menghitung pertemuan dengan beregu No. 5 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun.








