KOTA KINABALU: Sebanyak 291 projek pembangunan di Sabah berjaya disiapkan pada tahun ini, berdasarkan pencapaian pelaksanaan projek setakat Oktober.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia termasuk pembinaan Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Buit Hill, Penampang.

Katanya, prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan bagi tahun ini di Sabah pula meningkat kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober, berbanding 52.07 peratus (10 Ogos lalu).

Beliau berkata, prestasi itu menunjukkan projek pembangunan dibiayai kerajaan Persekutuan di Sabah dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan menerusi komitmen semua pihak berkaitan.