Kuala Lumpur: Sebanyak 47,412 kandungan bersifat buli siber telah dikenal pasti dan diminta diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak Januari hingga semalam, dengan 81 peratus daripadanya membabitkan platform TikTok.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Facebook adalah platform kedua tertinggi dengan 12 peratus daripada kandungan buli siber yang dikenal pasti.

"Dari awal tahun hingga semalam, kandungan bersifat buli siber yang dikenal pasti oleh MCMC adalah berdasarkan aduan awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pelajar Pemacu Negara -Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan, di sini hari ini.

Program yang disertai 336 pelajar daripada 122 sekolah menengah dari Kuala Lumpur dan Putrajaya itu turut dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.