KUALA LUMPUR – Sebanyak 47,412 kandungan bersifat buli siber di laman sosial dikenal pasti untuk tindakan permohonan penurunan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 81 peratus daripadanya dikesan di platform TikTok."Facebook pula merupakan platform kedua tertinggi dengan 12 peratus kandungan bersifat buli siber yang dikenal pasti."Jumlah itu berdasarkan aduan orang ramai yang diterima MCMC, namun bukan semua kandungan berkenaan telah diturunkan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Pelajar Pemacu Negara: 'Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan' di sini pada Rabu.Fahmi berkata, kedua-dua platform itu perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan insiden buli dalam talian."Jadi, kita lihat dua platform ini perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan insiden buli," katanya.Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya turut memberi perhatian kepada penggunaan aplikasi WhatsApp dan Telegram yang menawarkan ciri penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption)."Ciri tersebut membolehkan kumpulan perbualan peribadi diwujudkan tanpa dapat diakses secara terbuka oleh orang ramai, sekali gus menimbulkan cabaran dalam usaha mengesan kegiatan buli siber yang berlaku dalam kumpulan berkenaan," katanya.Beliau berkata, MCMC sedang meneliti perkara itu, termasuk aduan berkaitan penyalahgunaan platform komunikasi untuk kegiatan buli siber serta penjualan barangan terlarang dan dadah."Penelitian lanjut akan dilakukan berdasarkan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur serta identiti pengguna secara elektronik (eKYC)," katanya.