PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir individu yang menghukum orang lain sebagai kafir, murtad dan munafik walaupun hanya mempunyai pengetahuan agama yang terbatas.Berucap di Majlis Ilmu Madani, Anwar berkata, sikap itu mencerminkan keperluan memperkukuh tradisi ilmu dan kefahaman agama bagi mengelakkan tindakan menghukum tanpa asas pengetahuan yang mendalam."Belajar agama sedikit, terus hukum dan jadi takfiri. Terus memurtad orang serta memunafikkan orang," katanya di kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana pada Rabu.Majlis ilmu yang disampaikan oleh pendakwah Indonesia, Abdul Somad Batubara dan turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.Menurut Anwar, usaha membina kefahaman dan kesedaran agama perlu diberikan perhatian kerana masyarakat tidak seharusnya hanya membangkitkan pelbagai masalah tanpa mencari penyelesaian menerusi ilmu dan pencerahan.Beliau berkata, tradisi ilmu perlu diperkukuh bagi membentuk keperibadian yang berteraskan akidah dan akhlak, sekali gus memastikan kefahaman agama diterjemahkan melalui tingkah laku yang baik." Ini yang cabarannya," katanya ketika menyentuh keperluan memastikan umat Islam mempunyai kefahaman yang kukuh dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan akhlak, keperibadian, kesederhanaan dan toleransi dalam kalangan umat Islam, khususnya ketika berhadapan dengan masyarakat majmuk.Jelasnya, pendekatan dakwah perlu berlandaskan hikmah, nasihat yang baik dan perbahasan secara berhemah, selaras dengan tuntutan agama."Dia tidak membantu, tidak memberikan contoh yang baik. Dari segi akhlak, segi peribadi, kesederhanaan dan toleransi."Dan umpamanya kalau di Indonesia mungkin 10 peratus dan negara ini 40 peratus bukan islam menguasai pelbagai bidang."Jadi, itu lebih tercabar bagi kita ketimbang yang lain," ujarnya.Sehubungan itu, beliau menjelaskan penganjuran Majlis Ilmu Madani di kediaman rasmi Perdana Menteri bertujuan menyuburkan tradisi ilmu melalui penglibatan ulama dan tokoh agama dari dalam serta luar negara.Menurutnya, pemimpin turut bertanggungjawab memberikan teladan yang baik dalam usaha memupuk kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan ilmu."Nak merangka belanjawan (sebelum) ini, kita tanya apakah yang boleh baik untuk Islam, apa lagi nak ditambah. Dulu kita tinggalkan madrasah, pondok, pesantren, tetapi kita bina semula. Dulu kita ketepikan syeikh-syeikh dan guru-guru agama, kita panggil (mereka) dan minta pandangan," katanya.
'Belajar agama sedikit, terus hukum orang lain' - PM

Key takeaways
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir individu yang menghukum orang lain sebagai kafir atau murtad walaupun pengetahuan agama mereka terhad. Beliau menekankan keperluan memperkukuh tradisi ilmu dan kefahaman agama untuk mengelakkan tindakan tersebut.
- Anwar Ibrahim menegur sikap menghukum orang lain sebagai takfiri atau murtad berdasarkan pengetahuan agama yang sedikit.
- Beliau menekankan kepentingan memperkukuh tradisi ilmu untuk membentuk keperibadian berasaskan akidah dan akhlak.
- Majlis Ilmu Madani di Putrajaya turut dihadiri oleh pendakwah Abdul Somad Batubara dan isteri Perdana Menteri.
Summarised automatically by AI from the original article by Sinar Harian. AI can make mistakes, so check the original for details.
Story details
- Published
- By
- TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
- Section
- BERITA
- Language
- Malay (Malaysia)
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
2 stories on this topic from 2 sources, oldest first.
- Sinar Harian 'Belajar agama sedikit, terus hukum orang lain' - PM (this story)







