PETALING JAYA – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memperoleh sebuah aset logistik dan perindustrian di Bayan Lepas Waterfront, Pulau Pinang, daripada Titijaya Land Berhad (Titijaya), pada nilai kira-kira RM300 juta bertujuan untuk memperluaskan portfolio aset perindustrian serta memperkukuh aliran pendapatan syarikat.

Hartanah yang telah siap dibina pada tahun 2024 itu telah disewakan sepenuhnya kepada DHL Properties (Malaysia) Sdn Bhd, sekali gus menyediakan sumber pendapatan sewaan yang stabil dan berterusan kepada PHB.

Pemilikan tersebut bakal meningkatkan sumbangan aset perindustrian kepada kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan portfolio hartanah pelaburan PHB, sejajar dengan strategi syarikat untuk mempelbagaikan portfolio dan memperkukuh daya tahan pendapatannya.