KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memberi pandangan sewajarnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Langkah itu penting bagi memastikan sebarang tindakan yang bakal diambil adalah teratur dan selaras peruntukan undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata pihaknya mengambil maklum berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Mohd Shuhaily, yang kini berada di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Laporan polis terbabit adalah tertakluk kepada siasatan PDRM. Dalam hal ini, tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa akan diambil sekiranya kertas siasatan dikemukakan kepada jabatan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.









