TAWAU: Bekas Ketua Staf Bahagian Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mat Zaki Md Zain, mempertahankan alibinya bahawa beliau berada di Semenanjung atas urusan rasmi ketika pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, dibunuh di Tawau pada 13 Januari 2023.

Mat Zaki yang ketika itu berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC), berkata beliau berada di Semenanjung dua hari sebelum kejadian dan hanya kembali ke Sabah selepas sembilan hari dengan keberadaan itu disokong antaranya rekod imigresen, tiket penerbangan, manifes penumpang serta beberapa saksi.

Beliau yang bersara wajib pada 12 Februari 2024 berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Kamarudin Mohmad Chinki dalam perbicaraan saman sivil membabitkan jumlah keseluruhan RM190 juta.