PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan 11 sebatan terhadap seorang guru besar kerana menghasilkan bahan pornografi dan melakukan amang seksual secara fizikal terhadap seorang murid tahun enam, lima tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Hakim, Datuk Noorin Badaruddin, yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, menolak rayuan Anuar Kintan terhadap sabitan menghasilkan bahan pornografi.
Panel itu turut mengetepikan keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan Anuar daripada pertuduhan amang seksual secara fizikal terhadap mangsa yang berusia 12 tahun ketika kejadian.
Mahkamah kemudian mensabitkan tertuduh atas pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun serta tiga sebatan.








