KUALA LUMPUR: Pembiayaan berjumlah RM3.8 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) telah diluluskan setakat 30 September 2026, yang memanfaatkan lebih 6,800 akaun perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) memaklumkan kelulusan itu adalah di bawah peruntukan awal kemudahan itu yang berjumlah RM5 bilion, berdasarkan laporan BNM.

"Tambahan RM5 bilion yang diumumkan melalui Belanjawan 2027 menjadikan jumlah peruntukan kepada RM10 bilion, sekali gus memperluas sokongan modal kerja dengan kadar berpatutan kepada lebih banyak perniagaan yang terjejas," menurut kenyataan itu.