KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara enam bulan serta denda RM800,000 bagi empat pertuduhan terhadap bekas penasihat Lembaga Pengarah Axis Incorporation Bhd, Lee Koon Huat kerana bersubahat mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dalam kenyataan hari ini memaklumkan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menolak rayuan Koon Huat selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah dan tiada alasan untuk campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.
Mahkamah Tinggi turut bersetuju dengan hujahan SC bahawa hukuman yang dikenakan terhadap Koon Huat adalah wajar dengan mengambil kira peranannya dalam kesalahan berkenaan.








