KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan proses siasatan terhadap pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia eFishery.
MoF berkata, siasatan yang dijalankan belum menemukan sebarang unsur salah laku jenayah membabitkan rasuah atau penyelewengan berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery seperti yang dilaporkan media pada 13 Ogos lalu.
Kementerian memaklumkan KWAP juga bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan serta konsortium pelabur dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"Pada masa yang sama, usaha melalui saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan pemulihan nilai pelaburan terus dilaksanakan," menurutnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.









