Kuala Lumpur: Bola sepak bukan sekadar tentang jaringan dan kemenangan di atas padang, sebaliknya mampu menjadi jambatan untuk menyebarkan kasih sayang serta menyuntik harapan kepada insan yang berdepan ujian kehidupan.
Semangat itu diterjemahkan IGunner Malaysian Football Community menerusi program IGunner Pink Oktober 2026 yang meraikan pejuang kanser dalam kalangan pendidik sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
Berlangsung di Ancasa Hotel Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu, program itu menjadi ruang untuk menghargai ketabahan peserta yang terus berjuang mendepani cabaran, selain memberi peluang kepada mereka menikmati suasana santai bersama komuniti.
Penganjuran berkenaan bukan sekadar acara sambutan, malah membawa mesej bahawa golongan yang berdepan ujian kesihatan tidak harus dibiarkan berjuang sendirian.









