KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 3,581 kes penderaan fizikal, seksual dan emosi kanak-kanak bagi tempoh separuh tahun pertama 2026.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 1,522 kes direkodkan pada suku pertama (Januari hingga Mac) sebelum meningkat kepada 2,059 kes pada suku kedua (April hingga Jun).

KPWKM menjelaskan demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) yang ingin tahu statistik kes penderaan dan kecuaian penjagaan kanak-kanak bagi suku pertama hingga suku kedua 2026 serta jumlah kes yang didakwa di mahkamah.