PUTRAJAYA: Sebanyak 99,030 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi 2,746 projek pelaburan yang diluluskan dalam tempoh separuh pertama 2026 sekali gus membuka ruang lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk mengisi pekerjaan berkemahiran tinggi dan menikmati pendapatan lebih baik.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion bagi tempoh berkenaan iaitu peningkatan sebanyak 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau memberitahu, kejayaan pelaburan negara tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan peningkatan pendapatan pekerja.