KUALA LUMPUR: UMNO menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan supaya menarik semula arahan pembatalan projek berkepentingan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak.

Ia dikatakan membabitkan projek pembangunan luar bandar, termasuk jalan dan bekalan air serta elektrik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu menjadi antara isu yang dibincangkan panjang lebar pada Mesyuarat Majlis Kerja (MKT) parti itu, malam tadi.

Beliau berkata, perkara itu disuarakan wakil UMNO Sabah, yang menyatakan rasa resah rakyat di Sabah dan Sarawak selepas projek itu dikatakan dibatal dan ditangguh.