KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak tanah air khususnya penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) wajib menyaksikan filem dokumentari Harimau Selatan, 'UNTAMED'.
Filem dokumentari itu menceritakan mengenai bagaimana JDT mendaki ke puncak hasil usaha keras Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selain banyak perkongsian cerita menarik di sebalik kejayaan itu oleh beberapa individu termasuk pemain dan bekas pemain Harimau Selatan.
Antara yang menarik termasuk perkongsian cerita lucu mesin gol JDT, Bergson Da Silva ketika kali pertama dia bertemu Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT.
Memetik sedikit sedutan daripada filem dokumentari itu, Bergson yang kini sudah berstatus pemain naturalisasi Malaysia berkongsi cerita Tunku Mahkota Ismail pernah bergurau mahu memberinya kepada buaya jika dia tidak menjaringkan gol.









