KUALA LUMPUR: Belum ada bukti kukuh yang mengesahkan penglibatan syarikat perladangan Malaysia sebagai pihak yang menjadi punca kebakaran hutan di Indonesia, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang meneliti dakwaan penglibatan syarikat Malaysia dalam aktiviti pembakaran hutan di negara itu.

"Berdasarkan penelitian setakat ini, belum terdapat bukti kukuh yang mengesahkan penglibatan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran berkenaan.

"Pendirian kerajaan adalah jelas bahawa mana-mana pihak yang terbukti bertanggungjawab menyebabkan pencemaran jerebu perlu dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.