Kuala Lumpur: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sentiasa memantau perkembangan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia susulan kejadian kebakaran hutan dan tanah di negara itu.

KPK dalam kenyataannya berkata, melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pihaknya mengadakan sesi libat urus bersama enam syarikat Malaysia pada 10 September lalu bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi kebakaran serta langkah pencegahan dan pengawalan di kawasan operasi masing-masing.

Kementerian itu turut mengambil maklum penjelasan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) pada 6 Oktober lalu berhubung laporan yang mengaitkan anak syarikatnya, PT Menteng Jaya Sawit Perdana (PT MJSP), dengan isu berkenaan.