IMPIAN mengenali dunia penerbangan menjadi kenyataan buat 18 anak yatim daripada Rumah Perlindungan Amal TBQ Amal apabila mereka berpeluang menjejakkan kaki ke hangar pesawat dan meneroka sendiri dunia aviasi (penerbangan) menerusi program MyRatu Young Wings of Dreams (MyRatu) baru-baru ini.
Program anjuran MyRatu di bawah Bigwealthy Global Sdn. Bhd., dengan kerjasama FRAS Flying Club di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor itu memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai industri penerbangan serta pelbagai prospek kerjaya yang boleh diterokai dalam bidang berkenaan.
Sepanjang program, peserta berpeluang melihat pesawat dari dekat, memasuki kokpit, mengenali fungsi asas instrumen penerbangan serta mempelajari asas aerodinamik menerusi perkongsian bersama juruterbang berpengalaman.









