PETALING JAYA– Kerajaan memberi perhatian terhadap amalan platform digital yang mengenakan komisen tinggi, terma kontrak menyekat dan kawalan data pengguna sehingga berpotensi membebankan perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan antara perkara yang diteliti dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikannya hari ini.

“Pertumbuhan ekonomi digital negara perlu berlandaskan persaingan yang adil bagi memastikan perniagaan tempatan turut mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi.

“Pertumbuhan ekonomi digital mesti berlandaskan persaingan yang adil, termasuk menangani amalan platform yang boleh membebankan perniagaan tempatan,” katanya menerusi satu hantaran hari ini.