PETALING JAYA – UEM Edgenta Berhad hari ini melancarkan Program Keusahawanan Belia (YEP), yang julung kali diperkenalkan bagi mengenal pasti, melatih dan membimbing usahawan muda dalam ekosistem vendor Syarikat.
Kumpulan pertama program ini terdiri daripada enam vendor dalam ekosistem perniagaan Penyelesaian Infrastruktur dan Pengurusan Aset UEM Edgenta.
Mereka dipilih menerusi proses saringan teliti dan berperingkat, dengan kriteria kelayakan yang menekankan kepimpinan usahawan muda dan rekod prestasi perniagaan sebelum melalui audit dokumen, penilaian awal serta lawatan tapak berpandukan Kerangka Kecemerlangan Perniagaan Malaysia.
Bagi melaksanakan komponen latihan, UEM Edgenta menjalin kerjasama strategik dengan Institut Keusahawanan Negara (Insken) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).









