GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang digesa menarik balik semua kelulusan projek pembangunan di kawasan lereng bukit di seluruh negeri itu susulan tragedi tanah runtuh yang berulang sehingga meragut nyawa.Ahli Jawatankuasa Negeri Parti Muda Pulau Pinang, Andika Putera berkata, kejadian tanah runtuh terbaharu di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong pada Ahad lalu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kawalan pembangunan di kawasan sensitif berkenaan.Menurutnya, kejadian itu mengorbankan seorang warga emas berusia 73 tahun selepas bahagian dapur rumahnya dihempap runtuhan tanah.Beliau berkata, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Tanjung Tokong pada hari sama, sekali gus menambah kebimbangan terhadap keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berisiko."Tragedi berulang ini membuktikan kelemahan dalam kawalan dan kelulusan pembangunan di kawasan lereng bukit yang sensitif."Pembangunan hanya mendedahkan nyawa penduduk serta pekerja kepada risiko yang tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Andika berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius dengan mengambil kira beberapa tragedi tanah runtuh sebelum ini yang mengorbankan banyak nyawa di Pulau Pinang."Antara kejadian tanah runtuh yang pernah berlaku adalah di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pada Oktober 2017 yang meragut 11 nyawa."Tragedi di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong pada Oktober 2018 pula mengorbankan tujuh nyawa," ujarnya.Beliau turut merujuk kenyataan Pakar Governan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman bahawa lereng bukit amat sensitif terhadap sebarang gangguan fizikal dari sudut geoteknikal dan geomorfologi."Sehubungan itu, Muda Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai mengambil tindakan tegas dengan menarik balik semua kelulusan projek pembangunan di lereng bukit."Keselamatan awam dan kelestarian alam sekitar perlu diutamakan berbanding kepentingan pembangunan komersial bagi mengelakkan kejadian sama berulang."Nyawa rakyat tidak boleh dikorbankan demi pembangunan. Langkah proaktif dan tegas perlu diambil sekarang sebelum lebih banyak nyawa diragut disebabkan kerakusan tangan yang meluluskan projek di lereng bukit," katanya.Dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi Ahad, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73, maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit apabila tanah runtuh melanda sebuah rumah di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Air Itam.Kejadian itu turut melibatkan isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 67 dan ibu mertuanya, Wong Poh Lim, 80-an.Bagaimanapun, kedua-dua mereka terselamat selepas sempat keluar dari kediaman tersebut ketika kejadian berlaku.